Thursday, August 16, 2012

Perjalanan Terakhir.. (Episod 1)

Lia  terjaga dari lenanya.. lalu meraup wajah dan melafazkan hamdallah kepada yang empunya nyawa. Syukur, masih lagi diberi nikmat bernafas ini. Sejak akhir-akhir ini hatinya selalu resah dan gundah. Bimbang pada yang tidak jelas. Gusar pada rencana yang tidak pasti. Astaghfirullah al azim.

   Dia tak pasti persoalan apa yang sedang ligat bermain di aqal dan juga hatinya. Apa yang pasti, sedikit demi sedikit nikmat kesihatan itu diambil kembali oleh tuannya, Yang Maha Pencipta. Masakan kita sebagai hambaNya mampu untuk mempersoalkan segala ketentuanNya.

   Andai kita diberi pinjam barang, dan suatu saat pasti tuan empunya barang meminta semula barangnya. Mampukah kita untuk menidakkan ketuanannya pada barangan miliknya? Tidak mungkin! Begitulah kiranya..

   Lia hanya mampu merintih sepi, butir bicaranya hanya berlegar di sekeliling cuping telinganya. Mengaduh pada diri sendiri. Merintih jua pada diri sendiri. Air mata sentiasa mengiring hari-harinya yang masih lagi bersisa, namun tidak pasti sampai bila.

*******

   Usai solat subuh Lia bingkas memulakan rutinnya sebelum ke tempat kerja, Ma'athurat. Itulah satu-satunya penemannya, kala susah dan senang. Kadang goyah juga sang iman untuk istiqamah pada amalan yang kecil dan mudah ini.

   Ramadhan kali ini dia tidak meletakkan target yang terlalu tinggi. Mungkin bagi orang lain, target untuk khatam quran berkali-kali. Namun, Lia hanya ingin mengulang kembali segala hafazan surah-surah yang pernah dihafaznya sebelum ini. Surah An-Naba menjadi pilihannya pada Ramadhan ini. Terasa payah untuk memulakan amalan yang telah lama ditinggalkan. Memori semasa di bangku sekolah menengah semakin mekar.

*******

   "Kamu semua perlu bersedia. Ujian hafazan akan diadakan pada hujung minggu depan. Oleh itu, semua naqibah perlu sentiasa menyemak bacaan semua ahli kumpulan. Kamu semua, sebagai naqibah, pegang ini sebagai amanah, jangan sesekali ringan-ringankannya. Jangan lupa pesanan ustazah ni", tegas dan berhemah peringatan daripada Ustazah 'Izzah.

*******

   Dulu mungkin Lia bukanlah anak yang baik, bukan juga pelajar yang cerdas, dan mungkin bukan juga Muslimah yang sentiasa ingatannya pada Sang Pencipta. Yang selalu sahaja menghabiskan waktu dengan sia-sia. Itu semua kisah dulu dan semalam.

   Lia sangat khuatir akan dirinya. Sejak sesi 'A Moment to Remember' bersama ukhti Oki Setiana Dewi dan  kak Wardina tempoh hari, terasa ada seruan dari otak bawah sedarnya. Dia semakin malu dengan diri yang penuh noda. Terasa tak mampu untuk mendongakkan kepala kerana bebanan dosa sepanjang meniti kehidupan di dunia ini. Wallahi.. Dia sangat larut dengan tangisan dosa-dosanya.. Namun, tersedar bahawa, segala dosa-dosa itu takkan terhapus dengan begitu sahaja. Usaha untuk menebus segala khilaf perlu dijalankan dengan segera dan sepantasnya. Ayuh!

*******

   Malam itu entah mengapa laju sahaja lidahnya melontar kata. "Eka.. akak rasa la kan.. rasa la.. esok nak pakai niqab la yang.. hihi", ujarnya bernada riang pada si adik yang bukan seibu sebapa, tapi seIslam. "Kak.. betul ke ni? Akak jangan main-main tau," musykil si adik dengan lontaran idea si kakak. 

   "Emm.. itu la eka.. akak rasa, akak nak try dulu la.. ala..macam induction period gitu.. hihi.." bernada riang lagi. "Akak.. akak.. buatlah yang terbaik ye"...

*******

   Pagi itu, selesai memakai hijabnya tanpa berlengah-lengah lagi Lia pun mencapai niqab yang dibelikan ibunya semasa menunaikan umrah tahun lepas. Hatinya berdebar-debar. "Ish.. betul ke aku ni? Kuat ke aku ni? ", hatinya masih lagi bersoal jawab. "Tak pe la, aku cuba dulu, insyaAllah. Moga Kau permudahkan segalanya Ya Allah", mohonnya.

   "Awak ni dah kenapa? Jangan main-main, nanti marah Kak Jaja," bentak housemate Lia. Glurp...hatinya tersentak. Niat baiknya telah disalah ertikan. "Kak, saya nak cuba dulu. Kenapa pula Kak Jaja nak marah? Niqab ni bukan hak milik mutlak Kak Jaja kan?" soal Lia bagi menjawab soalan Kak Lili. Perbualan mereka terhenti di situ. Laju langkah kaki menuju ke pejabat masing-masing.

   "Ya Allah, satu sahaja pintaku. Andai ini adalah yang terbaik untuk agamaMu, diriku, keluargaku dan seluruh isi alam ini, maka Kau pinjamkanlah kekuatanMu padaku yang lemah lagi sarat dengan dosa ini Ya Allah. HambaMu ini terasa sangat lemah dan semakin lemah andai Kau palingkan aku dari nikmat Iman dan Islam," pinta hati Lia pada pagi yang penuh mencabar itu.

*******

   "Kak.. macam mana? Pakai tak kak?", soal Eka penuh minat. "Hihi.. Alhamdulillah. Mission accomplished this time", jawab Lia tenang. "Kak Lili tak cakap apa-apa ke kak", tanya Eka lagi. "Emm, macam-macam, tak apa la.. akak cuba dulu kan. Eka, jadikan iftar kita petang ini, sekali dengan tarawikh ye. Jangan lupa!", pinta Lia.

  Petang itu Lia merancang untuk beriftar serta bertarawikh di pejabat sahaja. Riang hatinya bilamana masih ada insan yang sudi berkongsi kisaha penghijrahannya hari itu.

*******

TAMAT EPISOD 1